Thursday, February 19, 2015

Rasulullah Mendapat Wahyu




   Wahyu yang pertama diberikan kepada Rasulullah SAW adalah merupakan mimpi yang baik di dalam tidur. Tidaklah Baginda SAW bermimpi melainkan mimpinya datang seperti sinaran pagi. Kemudian Baginda gemar menyendiri. Baginda mendiri di Gua Hira'. Baginda bertahannuth disana, iaitu beribadah pada waktu malam di sana untuk beberapa malam, sebelum pulang ke pangkuan ahli keluarganya disamping berbekal pula untuk tujuan yang sama. Kemudian baginda pulang kepada Khadijah. Beliau mengambil bekal seperti biasa ( bekal untuk beberapa malam) sehingga datanglah kepadanya kebenaran (wahyu).

     Ketika beliau berada di Gua Hira', datanglah malaikat seraya berkata, 'bacalah!' Baginda berkata, 'sungguh, aku tidak pandai membaca'. Baginda SAW bercerita:

" Lalu malaikat itu memegang aku dan mendakap aku sehingga aku lemah. Kemudian ia melepaskan aku, lalu malaikat itu berkata lagi : "Bacalah!", aku menjawab " Sungguh aku tidak pandai membaca". Lalu malaikat itu memegang dan mendakap aku buat kali kedua, kemudian ia melepaskan aku, lalu ia berkata lagi, "Bacalah!". Maka, aku berkata "Sungguh aku tidak pandai membaca". Lalu malaikat itu memegang dan mendakap aku buat kali ketiga, kemudian ia melepaskan aku. Lalu ia membaca:
     ( اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ ( 1) خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ( 2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ ( 3

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Bacalah, demi Tuhanmu Yang Mulia."

    Lalu Rasulullah SAW pulang dengan membawa wahyu itu beserta perasaan hati yang berdebar-debar. Lalu beliau masuk menemui Khadijah binti Khuwalid, seraya berkata "selimutkanlah aku, selimutkanlah aku". Maka, mereka pun menyelimutkan baginda sehingga hilanglah rasa taut baginda itu.

     Beliau bersabda dan menceritakan kisah tersebut kepada Khadijah, "Sesungguhnya aku benar-benar bimbangkan diriku". Lalu Khadijah berkata kepada baginda:

     " Jangan takut.Demi Allah, sampai bila pun Allah tidak akan menghinamu. Sesungguhnya engkau amat suka mengambung tali persaudaraan, menganggung beban dan berusaha membantu orang yang tidak mempunyai apa-apa, memuliakan tetamu, dan membantu orang ketika bencana-bencana alam menimpa."

     Kemudian Khadijah membawa Rasulullah SAW berjumpa Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, sepupu Khadijah. Dia ( Waraqah ) adalah pemeluk agama Nasrani (kristian) pada zaman jahiliyah. Dia dapat menulis kitab dalam bahasa Ibrani, dan dia menulis Injil dalam bahasa Ibrani pada perkara apa jua yang dia kehendaki. Ketika itu beliau telah tua dan buta.

     Khadijah berkata " Wahai sepupuku, dengarkanlah cerita dari anak saudaramu ini!" . Lalu Waraqah berkata kepada baginda SAW " Wahai anak saudaraku, apakah yang engkau lihat?" Lantas Rasulullah SAW menceritakan kepadanya tentang apa yang telah baginda lihat.
  
     Lalu Waraqah berkata kepada Baginda "Itulah Namus yang telah Allah turunkan kepada Musa. Aduhai diriku, sekiranya aku masih muda, sekiranya aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu...." Lalu Rasulullah SAW bertanya, "Adakah mereka mengusir aku?" Waraqah menjawab " Ya, tiada seorang pun yang telah membawa seperti apa yang engkau bawa kecuali dia akan dimusuhi. Andai kata hari itu aku sempat bersama denganmu nescaya aku akan bela engkau dengan bersungguh-sungguh." Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia dan wahyu pun terhenti.

Ibnu Syihab berkata :
    Abu Salamah bin Abul Rahman menceritakan kepadaku, bahawa Jabir bin Abdullah Al-Anshari telah berkata, ketika menceritakan peristiwa terputusnya wahyu: Nabi SAW bercerita :

     "Ketika aku sedang berjalan, tiba-tiba terdengar suara dari langit. Lalu aku melihat ke atas, rupa-rupanya malaikat yang pernah datang kepadaku di Gua Hira' sedang duduk diatas kerusi di antara lagit dan bumi. Maka timbullah perasaan gerunku terhadapnya. Aku pulang ke rumah dan berkata: selimutkanlah aku, selimutkanlah aku, Lalu Allah SWT menurunkan ayat : 
      
                يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ *  قُمْ فَأَنذِرْ *  وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ  *  وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ *  وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran ( kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.

Selepas itu, wahyu pun turun dengan banyak dan berterusan.


No comments:

Post a Comment