Tuesday, March 3, 2015

Gurauan Rasulullah SAW


"Para sahabat berkata, 'Ya Rasulullah SAW, kami melihat engkau bersenda gurau dengan kami.' Jawab Nabi, ' (Aku bersenda gurau) tetapi aku tidak bercakap melainkan benar.' "

     Rasulullah SAW tidak  pernah ketawa berdekah-dekah tetapi hanya tersenyum sahaja. Rasulullah SAW apabila ketawa hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja dan bukannya ketawa yang berdekah-dekah, mengilau-ngilau dan terkekeh-kekeh.'

     Antara gurauan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW semasa hayat baginda adalah seperti berikut:

  1.      Pada suatu hari, ibu saudara Rasulullah iaitu Sofiyyah binti Abdul Mutalib lalu berkata, " Doakan aku kepada Allah agar Allah memasukkan aku ke syurga." Maka Rasulullah membalas, " Wahai Ummu Fulan! Sesungguhnya syurga itu tidak dimasuki orang yang sudah tua." Ibu saudaranya menangis kerana dia menyangkakan bahawa beliau tidak layak untuk masuk ke syurga. Lalu Baginda menyatakan maksud sebenarnya iaitu penghuni syurga semuanya akan dijadikan muda-muda belaka, maka sudah tentu tiada lagi orang tua di dalam syurga. Lalu Nabi SAW membaca firman Allah SWT: "Sesungguhnya Kami mencipta mereka (wanita-wanita syurga) itu dengan langsung, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya." ( Surah Al-Waqi'ah: 35-37)
  2.      Abu Talhah mempunyai seorang anak lelaki kecil yang dikenali sebagai , Abu Umair'. Anak lelaki Abu Talhah ini memelihara seekor burung yang diberi nama Nughair. Rasulullah SAW selalu bergurau dengan budak kecil ini apabila bertemu dengannya. Baginda selalu bertanya kepada budak itu tentang burung yang dipeliharanya dengan berkata :"Wahai Abu Umair, apakah yang dibuat oleh Nughair?". Gurauan Rasulullah ini membuatkan budak kecil itu berasa gembira dan senang dengan Rasulullah SAW.
  3.      Daripada Anas bin Malik meriwayatkan bahawa terdapat seorang wanita datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata : " Berikanlah aku seekor unta untuk aku menunggangnya." Lalu Rasulullah berkata, " Bahkan aku akan memberikan kepadamu anak unta untuk engkau tungganginya." Wanita itu pun berkata," Anak unta tidak dapat memberi manfaat kepadaku kerana ia sudah tentu tidak mampu untuk berjalan apabila aku menungganginya." Maka Rasulullah SAW pun menerangkan maksudnya yang sebenar. Lalu berkata Baginda: " Setiap unta itu adalah anak kepada unta yang lain." Jadi yang dimaksudkan bukanlah anak unta kecil, sebaliknya unta yang besar.
     Jangan menjadikan pembohongan atau suatu yang diada-adakan sebagai bahan untuk menjadikan orang ketawa. Sabda Nabi SAW :
" Kecelakaanlah untuk orang yang bertutur, lalu ia berdusta semata-mata untuk menjadikan orang ramai ketawa. kecelakaanlah untuknya, kecelakaanlah untuknya."

Jadilah yang ditegah itu bukanlah ketawa, tetapi banyak ketawa atau ketawa berlebihan.

     Sayidina Ali r.a pernah berpesan, " Berilah gurauan kepada percakapan kamu hanya sekadar seperti kamu berikan garam kepada makanan." (Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Fiqh al-Lahwi wa at-Tarwih)

No comments:

Post a Comment