HARI TERAKHIR NABI SAW DI DUNIA.
Rasulullah menyelak tirai pintu rumah untuk melihat orang ramai yang sedang solat di belakang Abu Bakar r.a. Antara yang memerhati Baginda ketika itu ialah Anas bin Malik r.a apabila beliau melihat wajah Baginda putih dan bersinar umpama kertas mushaf. Orang ramai apabila terlihat sahaja nabi di muka pintu, mereka menjadi tidak tetap solat kerana gembira dalam melihat nabi yang kelihatan sembuh daripada sakitnya dan juga kerana menyangka Baginda akan keluar untuk mengerjakan solat.
Namun Baginda memberi isyarat supaya mereka kekal di tempat solat masing-masiang dengan berimamkan abu bakar. Kemudian Baginda menjatuhkan tirai dan itulah hari terakhir Nabi di dunia.
Nabi SAW wafat pada hari Isnin, 12 Rabiulawal (tahun ke-11 Hijrah) di rumah Sayidatina 'Aisyah r.ha. yang berjiran dengan masjud Baginda. Nabi mula sakit pada 29 Safar (hari Selasa atau Rabu) iaitu Baginda manghadapi shuda' (sakit kepala).
Kemudian sakit Nabi bertambah tenat sehingga Baginda sering bertanya, "Esok saya di mana? Esok saya di mana?" Maka fahamlah isteri-isteri Baginda bahawa Baginda ingin berada di rumah ' Aisyah r.ha.. Maka mereka mengizinkan Baginda untuk berada di rumah ' Aisyah semasa Baginda sakit. Sakit Baginda berterusan hinggalah pada hari kewafatan Baginda (12 Rabiulawal).
Tempoh sakit Nabi SAW ketika hampir wafat itu adalah lebih kurang 13 atau 14 hari (iaitu dari 29 Safar sehingga 12 Rabiulawal). Pada hari-hari permulaan sakitnya (iaitu lebih kurang 11 hari) Nabi SAW masih mampu keluar untuk solat berjemaah bersama sahabat-sahabat Baginda. hinggalah empat hari sebelum Baginda wafat (iaitu hari Khamis, 8 Rabiulawal), Nabi tidak mampu lagi keluar, iaitu bermula solat Isyak pada malamnya. Jdi, Sayidina Abu Bakar r.a. mula menggantikan Nabi untuk mengimamkan orang ramai bermula solat isyak hari Khamis, 8 Rabiulawal.
NABI TURUT MENGHADAPI SAKARATULMAUT
Dalam Shahih al-Bukhari, Sayidatina 'Aisyah r.ha. menceritakan, "Rasulullah SAW ketika saat-saat hampir kewafatannya, Baginda mencelup dua tangannya ke dalam air di dalam bekas di hadapannya dan menyapu ke muka sambil berkata, "Tidak ada tuhan selain Allah. Sesungguhnya bagi kematian itu ada sakarat." Kemudian Rasulullah SAW meluruskan tangannya (ke atas) sambil berkata, (kepada teman yang paling tinggi) hinggalan Baginda wafat dan tangannya jatuh." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).
Apa yang dapat kita fahami daripada ucapan Sayidina Aisyah r.ha. ialah kepayahan yang dirasai ketika hendak mati tidaklah menunjukkan kepada kematian tidak baik kerana Nabi SAW sendiri merasai kepayahan tersebut.
TANGGAL PENGEBUMIAN JENAZAH NABI SAW
Hadis menunjukkan bahawa jenazah Nabi Muhammad SAW dikebumikan pada malam Rabu. Jenazah Baginda siap dimandikan dan dikafankanpada hari Selasa, cuma dikebumikan pada malamnya (yakni malam Rabu) iaitu ketika pertengahan malam. Berkata Imam Ibnu Katsir, "Pengebumian Nabi SAW pada malam Rabu itulah yang banyak diceritakan oleh para ulama (salaf dan khalaf), antara mereka ialah Sulaiman bin TharkHan, Ja'afar al-Sodiq, Ibnu Ishaq, Musa bin 'Uqbah dan selain mereka."
Timbul persoalan, kenapa jenazah Nabi lambat dikebumikan, sedangkan Nabi sendiri menggalakkan agar mayat segera dikebumikan? Menurut Imam al-Baijuri, ada beberapa sebab iaitu:
- Disebabkan berlaku perselisihan dalam kalangan sahabat tentang pengebumian Nabi SAW antaranya, di mana Baginda hendak dikebumikan?
- Disebabkan kegemparan yang menimpa mereka (yakni para sahabat) daripada peristiwa kewafatan Nabi iaitu mereka tidak pernah menghadapi kegemparan seperti itu.
- Disebabkan kesibukan mereka menyelesaikan masalah perlantikan khalifah yang menjadi maslahat kaum Muslimin yang perlu didahulukan.
Menghimpunkan kesemua riwayat , para ulama menyimpulkan bahawa peristtiwa Nabi SAW keluar dengan dipangku ke masjid bukanlah berlaku sekali sahaja tetapi berulang kali.
KESIMPULAN DARIPADA HADIS-HADIS
1. Nabi Muhammad SAW ketika hampir kewafatan, Baginda telah ditimpa demam dan sakit kepala yang amat berat sehingga tidak dapat mengimamkan orang ramai untuk mengerjakan solat, maka baginda melantik Sayidina Abu Bakar r.a. menggantikan Baginda.
2. Nabi Muhammad SAW tidak terkecuali daripada merasai kesakitan atau kepayahan ketika meninggal dunia yang dipanggil sakaratulmaut. Bagi meredakannya, Baginda mencelupkan tangan ke dalam air dan menyapunya ke muka Baginda sambil berdoa kepada Allah agar meringankan kesakitannya.
3. Nabi wafat pada hari Isnin di atas ribaan Sayidina 'Aisyah r.ha. setelah sakit selama beberapa hari. Sebaik mengetahui Nabi SAW telah wafat, Sayidina Abu Bakar masuk menemuinya dan mengucup dahi Baginda (antara dua mata Baginda). Kemudian Abu Bakar memimpin para sahabat untuk menguruskan jenazah Nabi SAW hingga pengebumian jenazah Baginda.
4. Para sahabat mengalami kegemparan dan kepiluan yang amat hebat daripada peristiwa kewafatan Nabi SAW.
5. Jenazah Nabi SAW dimandikan oleh orang-orang lelaki daripada keluarga terdekatnya (dari sebelah bapanya). Kemudian (setelah dikafankan), Solat jenazah ke atas Nabi SAW dilakukan secara kumpulan demi kumpulan tanpa imam (yakni masing-masing solat secara bersendirian).
6. Jenazah Nabi SAW dikebumikan di tempat Baginda wafat iaitu di rumah Sayidina 'Aisyah r.ha. Jenazah Nabi SAW sempurna dikebumikan pada pertengahan malam hari Rabu.
Wallahu'alam.
لَوْ كَانَ بَيْنَنَا الْحَبِيْب
لَدَنَا القَاصِيْ وَالْقَرِيْب
مِنْ طَيِّبَةٍ قَبْلَ الْمَغِيْب
طَالِباً قُرْبَ الحَبِيْب
Andainya KekasihMU (Muhammad) masih berada bersama kami,
Akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah,
Dengan haruman Baginda sebelum hilangnya
Rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan kekasihMu
No comments:
Post a Comment